JANUARI 2024

Bendera Sarawak Dinamakan ‘Ibu Pertiwi’


KUCHING, 31 Dis - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg telah mengumumkan nama bendera Sarawak sebagai ‘Ibu Pertiwi’ dan tiang bendera yang tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara sebagai tiang bendera Ibu Pertiwi. 

Beliau mengumumkan nama bendera dan tiang bendera tersebut semasa Majlis Sambutan Ambang 2024 yang bertempat di Kuching Waterfront, disini. 

"Jika bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, bendera Sarawak kita akan dinamakan 'Ibu Pertiwi,' melambangkan tanah air kita," jelas beliau. 

Tambah beliau, dataran berhampiran Kubu Margherita, di mana tiang bendera 99 meter yang megah berdiri tersebut turut dinamakan secara rasmi sebagai Dataran Ibu Pertiwi. 

Abang Johari juga turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), dan SHELL atas sumbangan besar mereka dalam pembiayaan tiang bendera dan dataran tersebut. 

"Ibu Pertiwi adalah tanah air kita yang berdaulat; kita mesti melindunginya. Ini melambangkan kehebatan Sarawak dengan warna merah, hitam dan kuning, mewakili perpaduan kita," tambah Abang Johari. 

Beliau menggesa semua Anak Sarawak supaya bertekad, bekerja bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Ibu Pertiwi, dan menyumbang kepada pembangunannya, menjadikannya tempat yang ideal untuk anak-anak Sarawak. 

Penamaan bendera Sarawak dan perasmian tiang bendera tersebut menandakan satu langkah penting dalam sejarah Sarawak, memperingati identiti dan perpaduannya di bawah lambang 'Ibu Pertiwi.'

Turut hadir dalam majlis tersebut, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri Datin Amar Doreen Mayang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar.

Sumber dari : Sarawakku